Pelan Pembangunan Pendidikan

PPD Klang Sahut Cabaran Pelan Pembangunan Pendidikan

Pada 13 Oktober 2012 seramai 39 pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Klang telah mengikuti bengkel sehari bagi mendapatkan pendedahan dan pemahaman yang jelas berkenaan laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Taklimat telah disampaikan oleh Penolong PPD Pengurusan Akademik Pn Hajah Siti Hajar bersama Kaunselor Tn Haji Azhar.

Para pegawai telah didedahkan tentang Lima Aspirasi Pendidikan Malaysia, Enam ciri utama yang diperlukan oleh setiap murid untuk berupaya bersaing pada peringkat global, Sembilan Bidang Keutamaan serta 11 Anjakan Utama untuk Mentransformasikan Sistem Pendidikan Negara.

Antara Lima Aspirasi Pendidikan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan ialah:

  • Akses – 100% enrolmen merentas semua peringkat pendidikan daripada prasekolah hingga menengah atas menjelang tahun 2020
  • Kualiti – Negara dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa seperti TIMSS dan PISA dalam tempoh 15 tahun.
  • Ekuiti – 50% pengurangan dalam jurang pencapaian (bandar-luar bandar, sosioekonomi, gender) menjelang tahun 2020
  • Perpaduan – Sistem pendidikan yang menawarkan perkongsian pengalaman dan nilai kepada kanak-kanak dengan menghargai kepelbagaian.
  • Kecekapan – Sistem yang memaksimumkan keberhasilan murid mengikut peruntukan sedia ada

Pelan Pembangunan Pendidikan juga menekankan Enam Ciri Utama yang diperlukan oleh setiap murid untuk berupaya bersaing pada peringkat global ialah:

  1. Pengetahuan
    Di peringkat paling asas, setiap kanak-kanak perlu menguasai kemahiran literasi dan numerasi.
  2. Kemahiran Berfikir
    Setiap murid belajar cara untuk memperoleh ilmu pengetahuan sepanjang kehidupan mereka (menerapkan perasaan ingin tahu dan mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat) untuk membolehkan murid menghubungkan pelbagai disiplin ilmu.
  3. Kemahiran Memimpin
    Dalam dunia yang saling berhubung kait, kebolehan untuk memimpin dan bekerja dengan orang lain secara berkesan adalah penting. Sistem pendidikan negara akan membantu setiap murid mencapai potensi sepenuhnya dengan mewujudkan peluang yang formal dan bukan formal, bekerja dalam pasukan dan mengamalkan ciri kepimpinan.
  4. Kemahiran Dwibahasa
    Setiap kanak-kanak menguasai sekurang-kurangnya bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan, serta bahasa Inggeris sebagai bahasa komuniksai antarabangsa.
  5. Etika dan Kerohanian
    Sistem pendidikan akan menyediakan pengalaman kepada setiap kanak-kanak untuk berdepan dengan cabaran yang bakal ditempuhi ketika dewasa, agar mereka boleh menyelesaikan konflik secara harmoni, bijak membuat pertimbangan, berpegang pada prinsip ketika berada dalam situasi yang kritikal, serta berani melakukan sesuatu yang betul.
  6. Identiti Nasional
    Identiti nasional yang kukuh terikat dengan prinsip Rukunegara yang diperlukan untuk kejayaan masa depan Malaysia. Setiap murid akan berbangga dikenali sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira etnik, agama atau status sosioekonomi.

Pelan Pembangunan Pendidikan juga telah menggariskan 11 Anjakan Utama untuk Mentransformasikan Sistem Pendidikan Negara, antaranya:

Anjakan 1: Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.
Anjakan 2: Memastikan setiap murid profisien dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris
Anjakan 3: Melahirkan rakyat malaysia yang menghayati nilai
Anjakan 4: Mentransformasi profesion keguruan menjadi profesion pilihan
Anjakan 5: Memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah
Anjakan 6: Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan
Anjakan 7: Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia
Anjakan 8: Transformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian kementerian
Anjakan 9: Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas
Anjakan 10: Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit
Anjakan 11: Meningkatkan ketelusan untuk akauntabiliti awam secara langsung

Adalah diharapkan kursus ini dapat menyediakan para pegawai di PPD Klang ke arah transformasi Sistem Pendidikan Negara selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.

Sejarah & Latar Belakang PPD Klang

Pengenalan PPD Klang

Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) telah ditubuhkan di bawah Education Ordinance 1950. Ia mewakili Kementerian Pelajaran Malaysia dan Jabatan Pelajaran Selangor untuk menyelaras aktiviti di peringkat daerah pada 1 Jun 1982. PPD telah dibentuk hasil daripada kertas cadangan yang telah dikemukakan pada awal tahun 80an dan pada tahun 1982 PPD telah ditubuhkan di beberapa buah daerah sebagai perantara antara daerah dengan Jabatan Pendidikan Negeri.

Fungsi utama penubuhan PPD Klang adalah :

  • Melaksanakan dasar pendidikan melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan
  • Menjana kepimpinan yang dinamik, moden, progresif dan penyayang
  • Meningkatkan pencapaian akademik
  • Menediakan prasarana pendidikan yang sesuai dan lebih kondusif
  • Menjaga kesejahteraan guru, staf sokongan, murid, ibu bapa dan pelanaggan
  • Menyediakan sistem pentadbiran yang moden, cekap dan berkesan

PPD Klang pada peringkat awal penubuhannya pada tahun 1982 telah beroperasi di sebuah blok bangunan di SMK Tinggi Klang sehinggalah pada bulan April. PPD Klang telah bertukar tempat ke sebuah kawasan seluas enam ekar bersebelahan dengan SMK Tinggi Klang. Pada awal penubuhannya, peranan utama yang telah diberikan adalah pengurusan akademik. Pada masa kini tanggungjawab PPD Klang bukan lagi dalam bidang akademik sahaja malah telah meningkat begitu mendadak sekali dan telah merentasi tugas dan fungsi di unit-unit berikut ;

  • Pengurusan Sekolah
  • Pengurusan Akademik
  • Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan
  • Pengurusan Pembangunan & Perolehan
  • Pengurusan Pentadbiran dan Perkhidmatan
  • Pengurusan Kewangan dan Akaun